PENGASAS SEKOLAH
Diasaskan pada 1896 oleh Mr. H.M Berkeley yang merupakan Pegawai Pentadbir Daerah Hulu Perak pada masa itu
ASAL NAMA SEKOLAH
Nama sekolah sekarang ialah SEKOLAH KEBANGSAAN SRI ADIKA RAJA, GERIK.
Pada tahun 1896, sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Melayu Gerik.
Kemudian ianya ditukar dan sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah
Umum Gerik. Pada tahun 1979, nama sekolah ditukar sekali lagi dan
dikenali dengan nama Sekolah Rendah Sri Adika Raja, Gerik. Pada tahun
1998, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan ( sekarang
Kementerian Pelajaran ), semua Sekolah Rendah ditukar kepada Sekolah
Kebangsaan, sekolah ini turut berbuat demikian dan dikenali dengan
Sekolah Kebangsaan Sri Adika Raja, Gerik.
Sebenarnya,
nama sekolah ini pada asalnya ialah Sekolah Umum Gerik namun pada
tahun1979, atas inisiatif En. Mustaffa bin Panjang Baman, ianya ditukar
kepada Sekolah Rendah Sri Adika Raja bersempena gelaran Orang Besar
Jajahan Hulu Perak iaitu Orang Kaya-kaya Sri Adika Raja, Orang Besar
Kelapan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Diasaskan oleh Mr. H.M Berkeley pada tahun 1896, ianya lebih dikenali dengan nama Sekolah Melayu.
Pada
hari pertama persekolahan, terdapat 15 orang murid dan seorang guru
iaitu En. Mat Saman b. Abdul Samad. Menjelang tahun 1912, bilangan
murid bertambah menjadi 30 yang terdiri dari murid lelaki dan
perempuan. Murid perempuan diajar oleh Pn. Mek Yah dan kelas pada zaman
itu hanya setakat darjah 5 sahaja.
Sebaik
sahaja tamat Perang Dunia ke-2, sekolah asrama mula ditubuhkan dan
dikhaskan bagi murid yang tinggal berjauhan dari sekolah. Tempatnya
ialah di Kelab Pejabat Daerah Gerik. Sebelum ini, semua murid darjah 6
dihantar ke Sekolah Melayu Lenggong. Kegiatan ko-kurikulum mula
diadakan seperti aktiviti pengakap dan juga sukan. Pada waktu petang,
kelas agama dijalankan dan kelas ini diajar oleh Tn Hj Abdullah, bekas
Qari istana ketika pemerintahan Al-Marhum Sultan Iskandar.
Setelah
Malaya merdeka pada tahun 1957, sekolah ini telah bertukar ganti nama
dari Sekolah Melayu Gerik ( Malay's Boys and Girls School ) ke Sekolah
Umum Gerik, kemudian bertukar kepada Sekolah Kebangsaan Gerik dan
Sekolah Rendah Sri Adika Raja, Gerik pada tahun 1979. Akhirnya, selaras
dengan arahan Kementerian Pendidikan, nama sekolah ini secara rasmi
kepada sekolah Kebangsaan Sri Adika Raja pada tahun 1998.
Sebelum pembinaan bangunan ( bangunan 2 tingkat )
bangunan-bangunan sekolah ini bertaburan agak jauh di antara satu sama
lain dan ini menimbulkan kesukaran kepada guru-guru. Mereka terpaksa
berbasikal untuk ke kelas. Pada tahun 1974, bangunan baru yang bernilai
RM 160,000.00 telah dibina dan telah dirasmikan oleh Yang Amat
Berhormat Tun Dr. Mahathir b. Mohamad ( ketika itu Dato' ), Menteri
Pelajaran Malaysia, pada 26 Ogos 1975. Pada masa yang sama sekolah ini
telah mencapai kemajuan yang pesat di mana bilangan murid telah
mencapai jumlah 800 orang. Terdapat juga murid dari kalangan orang asli
yang turut bersekolah di sini.
Pada tahun 1980, sekolah ini telah dinaikkan taraf ke
gred A dengan jumlah ramai murid seramai 900 orang dengan 32 orang
tenaga pengajar. Angka ini menjadikan sekolah ini ialah sekolah rendah
yang terbesar di daerah Hulu Perak. Pada tahun 1988, satu blok bangunan
3 tingkat telah dibina dengan kos RM 400,000.00. Bilangan murid telah
mencecah angka 1,000 dan jumlah tenaga pengajar meningkat dari 32
kepada 40 orang.
Pada tahun 1990, bilangan murid telah mencecah angka
1,300 orang dengan 46 orang guru. Pada tahun yang sama, dua sesi
persekolahan diwujudkan, pagi dan petang, akibat kekurangan kelas dan
pertambahan murid. Pada tahun 1997, semua murid orang asli yang belajar
di sekolah ini telah dipindahkan ke sekolah yang lain.
Sekolah ini juga mempunyai asrama desa yang mula
beroperasi sepenuhnya pada tahun 1996. Asrama ini dapat menampung
seramai 100 orang pelajar ( 50 lelaki, 50 perempuan ). Satu lagi
peluang pendidikan bagi golongan kurang upaya telah wujud di sekolah
ini dengan wujudnya kelas pendidikan khas. 10 orang murid menjadi
perintis kelas ini bersama 3 orang tenaga pengajar.
Pada tahun 1998, jumlah tenaga pengajar di sekolah
ini bertambah kepada 53 orang. Pada tahun 2000, satu blok bangunan 4
tingkat telah dibina dan siap pembinaannya pada penghujung 2002. Ianya
mula digunakan pada awal 2003 dan persekolahan 2 sesi dimansuhkan dan
ditukar kepada satu sesi sahaja. Kini pada tahun 2005, Sekolah
Kebangsaan Sri Adika Raja mempunyai murid seramai 1220 orang, 60 orang
guru serta 12 kakitangan sokongan.